Kali pertama aku melihat dia, hati kecilku berdetik “alangkah indahnya jika aku menjadi teman lelaki dia”.
“ Ni kawan sebilik aku, Lina.” Terang rakanku “Hai Lina..”. Dia senyum je. “Cis! Comelnya budak ni”. Rungut hati kecilku. Aku mendapatkan nombor telefon Lina dari kawan ku.
Aku bertanya kepada rakanku tentang status Lina. Jawapannya mengecewakan aku, Lina sudah ada teman lelaki. Aku menghantar sms bertanya khabar Lina . Namun, Lina langsung tak membalas sms aku. Aku terus mencuba, apa lah sangat setakat 1 sms, 10 sen. Kali ni usaha aku berjaya.Lina membalas sms aku. Langkah seterusnya ku atur, untuk menegur Lina. “Takkan kau nak pikat Lina, dia ada teman lelaki dah”. Teman serumah memerli aku. Setahun hampir berlalu, akhirnya aku dapat menjadi kawan baik Lina.
Mungkin pada orang lain aku lelaki bodoh, yang sanggup mengorbankan perasaan sendiri untuk Lina. Aku jatuh cinta, ketika pertama kali aku melihat Lina. Tetapi Lina begitu sayang dan cintakan orang lain. Biarlah apa yang orang mahu katakan, hati aku puas bila aku dapat bersama dan berkongsi masalah dengan Lina sebagai seorang kawan baik. Teman lelaki Lina bekerja di Singapura, mereka selalu berjumpa di Kuala Lumpur. Setiap kali mahu ke Kuala Lumpur, akulah yang akan menghantar Lina ke perhentian bas. Akulah yang akan mendengar luahan perasaan teruja Lina setiap kali mahu bertemu dengan lelaki yang dicintainya. Setiap kali itu jugalah aku akan pulang ke rumah dengan perasaan kecewa dan marah. Kenapa mesti aku jatuh cinta pada teman wanita orang lain?
Pernah hatiku hancur apabila melihat gambar-gambar Lina dengan teman lelakinya itu di dalam laptopnya. Hanya Tuhan yang mengerti perasaan ku ketika itu. “Lina, saya cintakan awak” Aku beranikan diri untuk berterus terang dengan Lina. “Saya mintak maaf, memang saya sayangkan awak, tapi tak lebih dari seorang kawan, kalau saya jumpa awak sebelum teman lelaki saya, saya akan pilih awak”. Jawapan Lina cukup menyentap perasaan aku. Walaupun aku sudah jangkakan jawapan itu. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari Lina. Aku menukar nombor telefon agar Lina tidak dapat mencari aku lagi. Lima tahun berlalu, ingatan aku pada Lina tak pernah padam. Hati aku menjadi sakit, marah dan kecewa setiap kali terkenangkan Lina. Perasaan cinta aku pada Lina tak pernah hilang walaupun selepas lima tahun tidak berjumpa dan terputus hubungan. Mungkinkah Lina sudah berkahwin dengan teman lelaki nya dulu?. Akhirnya, selepas lima tahun, aku terjumpa Lina di “Facebook” dan kami bersetuju untuk berjumpa. “Yes!”kata ku di dalam hati bila Lina memberitahu yang teman lelakinya dulu sudah berkahwin dengan perempuan lain dan Lina sekarang sudah tidak punya lelaki lain. Kami terus berkawan seperti dulu, kali ini, aku berjanji pada diri sendiri untuk tidak pernah melepaskan Lina seperti dulu lagi. Aku memperkenalkan Lina ada ibu bapa ku. Ibu dan bapa ku pula menyangka Lina adalah teman wanita ku. Mereka sangat menyukai Lina, sememangnya Lina memang pandai mengambil hati orang tua. “jom kita pergi tengok Teater Cuci Muzikal” sms Lina kepada aku. Aku bersetuju dan pergi membeli tiket kerana aku sudah nekad untuk melamar Lina menjadi teman wanita aku selepas menonton teater itu.
Akhirnya, cinta yang 5 tahun aku tunggu menjadi milik aku, bila Lina bersetuju menerima aku dan sudi mencintai aku. Cinta kami menjadi lebih bermakna apabila Lina bersetuju untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak aku. Dengan persetujuan keluarga, 10 Julai 2010 kami mengikat tali pertunangan. Janjiku pada diri untuk tidak meninggalkan Lina akan ku pegang sampai mati. Kami bersepakat tarikh pernikahan kami adalah pada bulan Jun 2011. Sekali lagi, nasib menyebelahi aku, apabila aku dan Lina diumumkan sebagai pemenang ketiga pertandingan Gerbang Cinta anjuran Utusan Malaysia. Kami memenangi tajaan perkahwinan yang akan dilangsungkan pada awal Mac 2011. Akhirnya, pada 6 Mac 2011 majlis perkahwinan kami berlangsung meriah sekali. Majlis resepsi pula berlangsung ada 2 April 2011. Dan hari ini, aku merupakan suami kepada wanita yang aku dulu menagih dan menunggu cintanya selama lima tahun. Hari ini juga, Lina menganugerahkan aku seorang anak yang bakal lahir pada hujung tahun ini kerana Lina disahkan mengandung 5 minggu. Ya Allah, dugaan yang Kau berikan dulu untuk aku tanggung selama lima tahun telah Kau balaskan dengan kegembiraan yang akan kekal selama hidupku. Lina, kaulah isteriku, nyawaku, cintaku dan duniaku. Terima kasih Tuhan di atas anugerah yang tak terhingga dan tak terucap ini.